Taktik licik wanita warga asing guna kereta mewah seleweng petrol terbongkar

TANAH MERAH - Taktik licik seorang wanita warga Thailand menggunakan kereta mewah jenis Toyota Camry untuk menyeludup petrol bersubsidi terbongkar selepas ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di Bukit Bunga, di sini, pada Selasa.
Suspek yang berusia 52 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pada awalnya wanita terbabit cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan statik di kawasan terbabit.
Bagaimanapun katanya, suspek berjaya ditahan dan hasil siasatan dipercayai dia cuba membawa keluar petrol bersubsidi ke negara jiran.
"Wanita terbabit juga mengaku telah membuat pengisian sebanyak dua kali pada hari yang sama dengan jumlah keseluruhan dianggarkan hampir 97 liter pada sesi pertama dan 20 liter pada sesi kedua," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, suspek turut mengaku minyak yang diperoleh akan dijual secara borong kepada ejen tempatan di sempadan Thailand.
Ujarnya, minyak tersebut juga akan dijual semula secara runcit di negara jiran itu.
Azman memberitahu, bertindak atas pengakuan tersebut KPDN menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Camry bersama anggaran 45 liter petrol yang terdapat dalam tangki ubah suai manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Seksyen 10 akta yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

