Anggota polis maut kemalangan

SEREMBAN – Seorang anggota dari Balai Polis Nilai dilaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 282.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke susur keluar Plaza Tol Nilai pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, dalam kejadian jam 2.50 petang itu, motosikal yang ditunggangi mangsa, Muhammad Syahidan Shamsuddin, 31, dari Seremban menghala ke Nilai, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Ujarnya, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Kawalan Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor J. Paul John.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah Muhammad Syahidan yang berasal dari Bukit Beruang, Melaka.
“Seluruh warga Polis Negeri Sembilan menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Muhammad Syahidan yang meninggal dunia pada 7 Mei 2025 akibat kemalangan jalan raya.
“Allayarham merupakan seorang Pegawai Rendah Polis yang bertugas di Balai Polis Nilai. Didoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya yang dikongsikan di Facebook Polis Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

