Lelaki ditahan curi pakaian dalam wanita

IPOH - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri beberapa pakaian dalam wanita yang dijemur di hadapan sebuah rumah di Menglembu di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perbuatan suspek dikesan oleh seorang wanita berusia 45 tahun menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya.
Menurut beliau, rakaman video itu turut dikesan tular di laman Facebook dan satu laporan polis telah diterima daripada mangsa sekitar jam 8.23 malam.
"Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki menaiki motosikal dan mencuri beberapa helai pakaian dalam yang disidai berhampiran pagar rumahnya.
"Bertindak atas maklumat, polis telah membuat tangkapan terhadap suspek yang juga warga tempatan berusia 48 tahun sekitar jam 11 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Abang Zainal Abidin berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada pagi Khamis di Mahkamah Majistret Ipoh bagi membantu siasatan.
"Semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

