Anak Kelantan cemerlang dapat RM500

WAN ROSLAN
WAN ROSLAN
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan menyediakan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Tahun 2024 sebanyak RM500 kepada semua anak kelahiran negeri ini yang cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, bagi keputusan SPM, pelajar perlu mendapat sekurang-kurangnya 9A manakala 4 prinsipal A untuk STPM dan STAM pula perlu mumtaz keseluruhan.

Beliau memberitahu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM700,000 berdasarkan keputusan diperoleh tahun lalu namun akan ditambah jika lebih ramai yang cemerlang.

"Mesyuarat hari ini memutuskan perkara itu dan kesemua mereka yang memenuhi syarat kelayakan boleh membuat permohonan bermula 13 Mei ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco pada Rabu.

Menurutnya, borang permohonan boleh didapati di Facebook Yayasan Islam Kelantan (YIK) atau datang ke pejabat yayasan berkenaan dan melalui laman web www.yik.edu.my.

Wan Roslan berkata, YIK dilantik sebagai urus setia menguruskan hadiah kecemerlangan itu yang akan sampaikan dalam satu tempoh ditetapkan.

"Tahun lalu kita menyampaikan insentif ini kepada 1,200 pelajar kelahiran Kelantan dari seluruh negara supaya dapat memberi dorongan kepada calon lain untuk terus berjaya," katanya.

Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor berharap semua pelajar yang memenuhi syarat kelayakan membuat permohonan sebaik sahaja borang dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!