Bekas Pesuruhjaya Pas Pahang meninggal dunia

Allahyarham Mohd Baqi Othman
Allahyarham Mohd Baqi Othman
A
A
A

KUANTAN - Bekas Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Guru Mohd Baqi Othman meninggal dunia di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah di sini pada Rabu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.30 pagi dalam usia 85 tahun.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, jenazah Allahyarham dibawa untuk diuruskan di Masjid Kampung Jengka Batu 13 sebelum disolatkan selepas Zohor di Madrasah Darul Ridhwan, Kampung Lanting, Chenor.

Menurutnya, jenazah seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanting.

Katanya, pemergian tokoh itu merupakan satu kehilangan besar buat umat Islam di Malaysia khususnya di Pahang.

"Bekas Pesuruhjaya Pas Pahang dari tahun 1994 hingga 2001 itu merupakan sosok alim yang disegani dan murabbi ummah yang mewakafkan seluruh hidupnya dalam medan ilmu, dakwah serta perjuangan Islam.

"Allahyarham yang juga bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat dan Yang Dipertua Pas Kawasan Maran (1991–2013), pernah tiga kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Zarimi berkata, Allahyarham yang dilahirkan pada 12 Julai 1940 di Kampung Kening, Chenor dikenang bukan sahaja atas keilmuannya, tetapi juga kerana sifat warak, tawaduk dan istiqamah dalam perjuangan.

"Allahyarham telah menubuhkan Pondok Darul Ridzuan dan kemudiannya Madrasah Sa’adah ad-Daraini di Temerloh.

Artikel Berkaitan:

"Beliau turut membangunkan Maahad Tahfiz Majalis Ilmi Wa Tarbiah yang menyumbang kepada pendidikan Islam bersepadu di Pahang, menawarkan pengajian tahfiz, akademik dan pelbagai bahasa seperti Arab, Inggeris dan Cina," katanya.

Menurut beliau lagi, Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) juga merupakan kesinambungan daripada sekolah menengah agama yang telah diasaskan oleh Allahyarham.

"Atas jasa beliau dalam bidang dakwah, pendidikan dan perjuangan Islam, Allahyarham telah dianugerahkan Tokoh Ulama Istiqamah Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-65 di Kuantan pada tahun 2019.

"Beliau turut menerima Anugerah Tokoh Ulama di Muktamar Dewan Ulama Pas Pahang pada tahun 2014.

"Sebagai kemuncaknya, Tuan Guru Mohd Baqi pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1442 peringkat Negeri Pahang pada tahun 2020," katanya.

Menurutnya lagi, Allahyarham turut dipilih oleh Penerbitan Universiti Malaya untuk dibariskan bersama lapan tokoh pemikir Islam di Alam Melayu.

"Buku berjudul Ketokohan dan Sumbangan Pemikir Islam Alam Melayu memaparkan lapan artikel yang memperincikan tokoh-tokoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Pas Pahang merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para murid beliau.

"Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini.

"Kami turut berdoa agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!