Lelaki hilang ketika mendaki Bukit Laggong

GOMBAK – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mendaki di Bukit Laggong, di sini, pada Selasa, ditemui selamat pada pagi Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa berusia 26 tahun itu dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti mendaki bersama dua rakannya dan kali terakhir berjaya dihubungi pada jam 1.41 tengah hari, Selasa.
"Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.08 petang. Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa berjaya ditemui oleh orang awam di atas bukit dalam keadaan selamat pada jam 6.50 pagi, Rabu.
"Anggota bomba segera digerakkan ke lokasi bagi membawa mangsa turun ke bawah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
