Skuad dodgeball negara bidik podium di Shanghai

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias, Radhakrishnan bersama pemain-pemain yang menggalas cabaran negara di Kejohanan Piala Dunia HADO 2025 di Shanghai, China. Foto asiana.my
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias, Radhakrishnan bersama pemain-pemain yang menggalas cabaran negara di Kejohanan Piala Dunia HADO 2025 di Shanghai, China. Foto asiana.my
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SKUAD dodgeball negara memasang impian untuk menaiki podium dalam Kejohanan Piala Dunia HADO 2025 yang akan berlangsung di Shanghai, China, dari 23 hingga 25 Mei depan.

Sasaran optimis itu dilaungkan oleh Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V Radhakrishnan, pada sidang akhbar sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan digital dodgeball negara di Shah Alam, pada Selasa.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan negara yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Dunia HADO 2025 di Shanghai, China. Foto asiana.my
Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan negara yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Piala Dunia HADO 2025 di Shanghai, China. Foto asiana.my

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihak pengurusan pasukan yakin sepenuhnya dengan kemampuan atlet negara untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan berprestij itu, berdasarkan persiapan rapi yang telah dijalankan sebelum ini.

"Sebanyak 18 negara termasuk Malaysia akan mengambil bahagian untuk edisi kali ini menyaksikan pasukan negara diundi dalam Kumpulan A.

"Skuad negara kali ini diperkuatkan dengan tiga pemain diketuai kapten Vincent Chan Wei Xian, Mohd Shazril Mohd Azlan dan Kelvin Chan Ru Hwang.

"Pasukan pilihan edisi kali ini Jepun, Korea Selatan dan tuan rumah China, namun saya percaya pemain-pemain negara mampu menampilkan saingan sengit untuk berada, di kedudukan podium," ujar Radhakrishnan.

Hadir menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang itu Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias.

Pada sidang akhbar sama, Radhakrishnan turut memaklumkan MAD kini giat menggerakkan inisiatif mengembangkan sukan dodgeball digital di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun 2025 ini, kita mula memperkenalkan dodgeball digital seiring dengan dodgeball fizikal ke sekolah, kolej, dan universiti di seluruh negara.

"Untuk tujuan itu, MAD dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama strategik dengan AEON bagi menganjurkan siri pertandingan yang akan merangkumi kedua-dua format dodgeball, iaitu fizikal dan digital.

"Selain itu, kita juga akan menawarkan acara dodgeball yang direka khas, sama ada secara virtual mahupun bersemuka, untuk program pembangunan pasukan korporat dan acara-acara khas," katanya.

Beliau menambah, "Kami percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan penglibatan golongan belia dalam bidang STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik) serta kecergasan fizikal, malah akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam perkembangan trend e-sukan yang semakin pesat di Asia."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!