Pandu Hilux lawan arus, rempuh palang tol dan empat kenderaan cuba lolos diri

MELAKA – Tindakan pemandu pacuan empat roda membawa muatan kabel curi meloloskan diri berakhir secara dramatik selepas dikejar polis sejauh lebih 100 kilometer sebelum berjaya diberkas di Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Plaza Tol Alor Gajah, awal pagi Selasa.
Dalam cubaan melarikan diri, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Toyota Hilux itu bertindak merempuh tiga buah kereta dan sebuah lori di lebuh raya, palang tol selain memandu melawan arus ke arah Johor Bahru, sebelum membuat pusingan-U di susur masuk lebuh raya dan meneruskan perjalanan ke arah Kuala Lumpur.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditahan kira-kira jam 5.30 pagi di KM216.8 Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Plaza Tol Alor Gajah pada awal pagi Selasa.

Menurutnya, anggota peronda polis (MPV) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Perindustrian Teknologi Cheng terserempak dengan sebuah Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan.
"Dua anggota polis cuba menghampiri kenderaan tersebut namun, suspek bertindak melarikan diri lalu memecut ke Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah -Jasin (AMJ) melalui Krubong, Paya Rumput, Durian Tunggal dan seterusnya ke Plaza Tol Ayer Keroh.
"Dalam usaha meloloskan diri, suspek telah merempuh palang tol dan memandu melawan arus ke arah Johor Bahru sebelum membuat pusingan-U di susur masuk dan menuju ke arah Kuala Lumpur.
"Sepanjang cubaan meloloskan diri itu, suspek turut merempuh tiga buah kereta dan sebuah lori di lebuh raya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, seorang lagi lelaki berjaya meloloskan diri ke seberang lebuh raya dan polis dalam usaha mengesan suspek.
Ujarnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui 44 batang wayar kabel disyaki dicuri.

"Suspek turut mempunyai 20 rekod jenayah lampau termasuk enam berkaitan kes dadah.
"Suspek kini direman selama empat hari bermula Selasa.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

