Lima individu dikompaun kerana beri merpati makan

GEORGE TOWN- Sebanyak lima kompaun telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terhadap individu yang dikesan memberi makan kepada burung merpati di kawasan awam.
Kompaun itu dikeluarkan dalam satu operasi penguatkuasaan kawalan populasi merpati yang dijalankan baru-baru ini.

MBPP dalam satu kenyataannya berkata, tindakan tegas itu diambil susulan sikap segelintir pihak yang masih berdegil walaupun pelbagai hebahan dan kempen kesedaran telah dijalankan bagi mendidik orang ramai agar tidak memberi makanan kepada burung tersebut.
"Kesemua individu terbabit didapati sengaja membuang sisa makanan dengan tujuan untuk menarik burung merpati, sekali gus melanggar Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM250 bagi setiap kesalahan.
“Tindakan mahkamah juga boleh dikenakan terhadap individu yang masih ingkar serta gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh ditetapkan,” katanya.
MBPP berkata, statistik bagi April tahun ini menunjukkan sebanyak 818 ekor burung merpati berjaya ditangkap menerusi operasi berkala yang dilaksanakan di kawasan hotspot sekitar bandar raya ini.
"Selain kawalan terhadap merpati, MBPP menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran turut menjalankan operasi pemusnahan sarang burung gagak, dengan 36 sarang dimusnahkan sepanjang April.
"Sebagai langkah berterusan, MBPP kini menyusun atur pelaksanaan operasi kawalan populasi burung merpati secara harian di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti dalam senarai pemantauan ketat," katanya.
Tambah MBPP, orang ramai dinasihatkan untuk bekerjasama dan tidak memberi makanan kepada burung liar demi menjaga kebersihan serta kesihatan awam di kawasan sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

