Jangan keterlaluan berpolitik hingga derhaka

Dewan Rakyat. Gambar kecil: Muzzammil
Dewan Rakyat. Gambar kecil: Muzzammil
A
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pihak diingatkan tidak berpolitik secara keterlaluan sehingga sanggup menderhaka kepada raja khususnya berhubung pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muzzammil Ismail berkata, semua pihak perlu menunjukkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak sesekali memperkecil atau menidakkan fungsi Seri Paduka dalam menangani kemelut politik di negara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu hormat dan taat kepada raja atau sultan. Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja bukan hanya untuk kaum Melayu malah untuk semua kaum di Malaysia.

“Perlembagaan negara yang dibentuk sebegitu rupa dalam mengimbangi kuasa politik kerajaan yang dipilih melalui sistem demokrasi dan kuasa Seri Paduka Baginda, menjadikan Malaysia unik,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau turut berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal menunjukkan ketaatan kepada Seri Paduka.

“Kerajaan boleh bertukar begitu saja dan apa yang berlaku sepanjang seminggu ini menjadi bukti kepada kita, sebagai rakyat Malaysia, pentingnya kedudukan Seri Paduka Baginda dalam pentadbiran negara.

“Kerajaan Perikatan Nasional juga perlu bertegas terhadap semua rakyat termasuk ahli politik. Beri tindakan tegas jika menderhaka dan biadab,” katanya.

Artikel Berkaitan: