Ahli perniagaan berdepan hukuman gantung edar, miliki dadah

JOHOR BAHRU - Seorang ahli perniagaan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengedar dadah dengan berat lebih sembilan kilogram (kg), bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Yean Wei Zhen, 34, dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis jenis serbuk 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) itu kira-kira jam 2.45 petang di tepi jalan Taman Mengkibol di Kluang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dikenakan hukuman mati, disebat tidak kurang daripada 12 kali.
Pada masa sama, lelaki itu turut berdepan pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah jenis ketamin seberat 185 gram dan nimetazepam kira-kira 78 gram di lokasi dan masa sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

