Pembantu kedai makan maut rempuh belakang lori di lorong kecemasan

Motosikal mangsa terperosok di bahagian belakang lori akibat rempuhan berkenaan.
Motosikal mangsa terperosok di bahagian belakang lori akibat rempuhan berkenaan.
A
A
A

KLUANG – Seorang pembantu kedai makan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pecah di Kilometer 54, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 2.10 petang.

“Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang, mangsa, Muhammad Amiruzain Shamsud Din, 26, dari Senai, Johor Bahru disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang mangsa dan lori jenis Hino yang terlibat datang dari arah yang sama iaitu dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori tersebut mengalami kerosakan apabila tayar belakang sebelah kanan pecah, menyebabkan pemandunya berhenti di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemandu lori berusia 25 tahun itu telah mengambil langkah keselamatan dengan meletakkan kon amaran di belakang kenderaan, namun motosikal yang ditunggang Muhammad Amiruzain dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai atau berbahaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutamanya apabila melalui kawasan yang melibatkan kenderaan berhenti di lorong kecemasan, serta sentiasa peka terhadap papan tanda atau kon amaran yang diletakkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!