Akan ada kerjasama atau GRS tanding 73 kerusi secara bebas? – Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berpandangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menyatakan pendirian yang jelas mengenai kerjasama dengan mana-mana gabungan politik di peringkat Persekutuan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula.
Menurutnya yang juga Timbalan Pengerusi GRS, soal kerjasama perlu diperjelaskan kerana rakyat berhak untuk tahu dan tidak boleh dibiarkan samar.
"GRS mesti menyatakan pendirian yang jelas mengenai penjajaran di peringkat Persekutuan sebelum PRN akan datang.
"Adakah kita akan bertanding di semua 73 kerusi secara bebas atau akan menyertai mana-mana blok Persekutuan? Perkara ini tidak boleh dibiarkan samar, rakyat berhak mengetahuinya dengan jelas dan jujur," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau dalam pada itu turut berkata, GRS juga perlu memperbaiki cara ia beroperasi sebagai satu gabungan besar, di mana semua pihak harus ada rasa saling hormat-menghormati, bekerjasama dan merunding secara bermakna.
"Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah membangkitkan kebimbangan yang wajar mengenai cara GRS berfungsi.
"Saya memahami kekecewaannya dan bersetuju dengan banyak perkara yang beliau nyatakan. Sebagai seorang pemimpin kanan yang telah berkhidmat kepada Sabah dengan penuh wibawa, suaranya harus diambil serius.
"Setiap parti komponen, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai kerusi atau tidak, berhak untuk didengari dan dilayan dengan penuh maruah," katanya.
Tambah beliau lagi, tindakan tokoh bawahan yang mengkritik atau merendahkan pemimpin kanan secara terbuka tidak wajar diterima.
"Ini bukan cara gabungan yang bertanggungjawab berfungsi. Isu dalaman mesti dibangkitkan melalui saluran yang betul, iaitu Majlis Kepimpinan GRS dan GRS mesti bersedia menerima pandangan itu dengan sikap terbuka dan matang.
"Untuk menyokong perkara ini, kita mesti komited untuk mengadakan mesyuarat kepimpinan secara berkala. GRS ditubuhkan untuk menyatukan semua parti berasaskan Sabah di bawah satu bumbung. Semangat asal ini mesti terus dipelihara.
"Kita mesti konsisten dengan slogan kita sendiri ‘Rumah Kita, Kita Jaga’, bukan sekadar dalam kata-kata, tetapi dalam tindakan kita terhadap satu sama lain," katanya.
Katanya lagi, setiap parti komponen perlu diberikan peranan atau tanggungjawab yang jelas, walaupun mereka tidak mempunyai kerusi pada masa ini.
"Penggiliran kepimpinan dan pembahagian tugas secara saksama akan membantu membina kepercayaan dan mengurangkan ketegangan dalaman. Tiada parti harus dianggap sekadar perhiasan," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menyarankan supaya GRS mengadakan mesyuarat Majlis Kepimpinan secara berkala untuk menangani isu dalaman.
"Mesyuarat ini untuk menyediakan ruang yang tersusun bagi parti komponen menyuarakan pandangan serta mencadangkan penambahbaikan.
"Selain itu, memberikan peranan yang jelas atau bergilir kepada semua parti komponen GRS, dan mengumumkan pendirian GRS berhubung kerjasama Persekutuan sebelum PRN-17," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyeru supaya satu Mesyuarat Perpaduan Sabah diadakan, melibatkan semua parti berasaskan Sabah, bukan hanya parti dalam GRS.
"Menganjurkan Mesyuarat Perpaduan Sabah bagi meneroka kerjasama yang lebih luas dalam kalangan parti tempatan.
"Kita perlu berbincang secara terbuka tentang cara untuk melindungi hala tuju politik Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada Putrajaya.
"Saya pernah menyuarakan perkara ini sebelum ini dan saya akan terus mengulanginya, perpaduan adalah tanggungjawab," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
