13 PATI kempunan balik kampung, ditahan di Tanjung Piai

PONTIAN – Cubaan menyeludup keluar 13 pendatang tanpa izin (PATI) dari negara ini berjaya digagalkan hasil serbuan Op Pintas di kawasan Tanjung Piai, Serkat di sini, pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam operasi pada jam 5.38 pagi itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.
“Siasatan awal mendapati seramai 12 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 22 hingga 54 tahun telah diambil dari rumah penampungan di Bukit Batu, Kulai menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum dibawa ke Tanjung Piai.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Hyundai Starex, 11 telefon bimbit dan kunci kereta kawalan jauh,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau, lelaki warga tempatan terbabit disiasat di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Manakala 13 warganegara Indonesia ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi siasatan lanjut,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

