Gaji graduan tak setanding inflasi, Malaysia perlu berubah

Rakyat Malaysia digesa agar segera melakukan perubahan bagi mengatasi krisis pasaran tenaga kerja dan memastikan kemajuan negara terus terpelihara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Noor Azlan.)
Rakyat Malaysia digesa agar segera melakukan perubahan bagi mengatasi krisis pasaran tenaga kerja dan memastikan kemajuan negara terus terpelihara. Gambar hiasan (Gambar kecil: Noor Azlan.)
A
A
A

SHAH ALAM – Masyarakat digesa untuk segera berubah demi mendepani masalah besar negara dalam pasaran tenaga kerja yang semakin membimbangkan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali menegaskan, perubahan segera amat diperlukan agar negara tidak terus berada di landasan yang salah.

“Kita hendak ke Johor tetapi polisi kita menghala ke Perlis! Sudah berulang kali, bertahun-tahun, perkara ini dinyatakan oleh ahli-ahli ekonomi.

“Jika kita mahu negara terus maju, mengapa kita tidak mahu berubah? Apa yang menghalang kita? Semua dokumen strategik pembangunan negara telah menyentuh isu ini. Kita sedang berdepan masalah besar dalam pasaran tenaga kerja,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau turut mengingatkan bahawa isu ini bukan sesuatu yang boleh dibiarkan berlarutan, malah diibaratkan sebagai 'barah ekonomi' yang boleh menjejaskan masa depan negara jika tidak ditangani segera.

“Jangan biarkan barah ekonomi ini berlarutan. Kita baru menyambut Hari Pekerja. Pekerja adalah kesuma bangsa! Cukupkah dengan hanya ucapan berapi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan persembahan koir semata-mata?” soalnya.

Terdahulu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim turut melahirkan kebimbangan terhadap penyusutan kadar gaji sebenar rakyat Malaysia dalam tempoh empat dekad lalu.

Menurut beliau, gaji permulaan graduan universiti hari ini sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, berbanding nilai RM1,300 yang diterimanya ketika mula bekerja pada tahun 1984.

Berdasarkan pengiraan kasar dengan mengambil kira inflasi tahunan sebanyak lima peratus, beliau berpendapat gaji graduan sepatutnya mencecah RM7,000 hingga RM8,000 sebulan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Noor Azlan menegaskan bahawa perubahan harus datang daripada semua lapisan masyarakat, bukan sekadar menunggu dasar kerajaan.

“Saya mengajak, berubahlah Malaysia. Marilah kita bersama beriltizam untuk berubah. Ini negara kita. Kita buat perubahan yang diperlukan.

“Sudah berulang kali Anwar menegaskan kita mesti berubah. Untuk kita semua,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!