Bank Muamalat hargai wira tidak didendang sempena Hari Pekerja

BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menghargai jasa dan pengorbanan golongan pekerja tidak didendang yang memainkan peranan penting dalam kesejahteraan komuniti menerusi program Kongsi Rezeki Bersama Hero Tanpa Nama yang dianjurkan sempena Hari Pekerja 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, kempen bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ itu melibatkan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan kering, minuman, kelengkapan dan kebersihan diri kepada golongan penerima manfaat.
“Antara golongan sasaran termasuk petugas kesihatan, anggota keselamatan, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan lain-lain individu yang berperanan penting dalam kelangsungan kehidupan harian masyarakat.
“Sebagai institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat sentiasa memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, program tersebut bukan sekadar sumbangan material sebaliknya simbol solidariti dan penghargaan pihak Bank Muamalat kepada para wira tidak didendang yang terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja Bank Muamalat tetapi turut menyampaikan mesej bahawa setiap sumbangan mampu membawa sinar dan senyuman kepada golongan memerlukan.
“Selaras dengan usaha ini, kami mengambil pendekatan menyeluruh dalam mengiktiraf sumbangan setiap lapisan pekerja dalam membina negara bangsa yang mampan dan sejahtera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

