Piala Sudirman: Manfaatkan kelebihan beregu lelaki

Gandingan Aaron (kiri) dan Wooi Yik bersedia jika diturunkan menentang Jepun hari ini. Foto Agensi
Gandingan Aaron (kiri) dan Wooi Yik bersedia jika diturunkan menentang Jepun hari ini. Foto Agensi
A
A
A

MALAYSIA mempunyai kelebihan bagi acara beregu lelaki dalam penentuan juara Kumpulan C menentang Jepun pada kempen Piala Sudirman yang berlangsung di Xiamen, China hari ini.

Kem badminton negara mempertaruhkan tiga pasangan yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia berbanding Jepun dalam kedudukan ke-17 dan 60.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek percaya pasangan Malaysia berada dalam prestasi terbaik dan mempunyai kelebihan tersendiri.

Malah beliau optimis skuad negara boleh meraih mata daripada beregu lelaki tanpa mengira pasangan mana yang diturunkan.

“Mana-mana pasangan negara boleh menentang Jepun dan mampu memberikan mata,” katanya.

Malaysia memiliki kekuatan dalam acara beregu lelaki menerusi pasangan nombor 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (keempat dunia) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ketujuh dunia).

Pasangan utama Jepun, bekas juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi kini menduduki tempat ke-17.

Kobayashi bagaimanapun baru membuat kemunculan selepas berehat selama lima bulan akibat kecederaan.

Pasangan kedua mereka ialah Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita yang berada di kedudukan ke-59 dunia.

Artikel Berkaitan:

“Kobayashi akan memerlukan masa untuk mendapatkan kembali keyakinannya selepas berehat begitu lama,” ujar Razif.

Dalam pada itu, Aaron tidak kisah siapa yang diturunkan kerana apa yang penting adalah mata buat pasukan dalam misi memburu kemenangan untuk bergelar juara kumpulan.

“Kita ada tiga pasangan terbaik, jadi kena gunakan kelebihan itu, khususnya dalam dua sektor ini termasuk beregu campuran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!