Kampung Angkat Madani: APM bantu tingkat infrastruktur Felda Air Tawar 1

 Aminurrahim Mohamed
Aminurrahim Mohamed
A
A
A

PUTRAJAYA – Dalam usaha meningkatkan kemudahan asas dan keperluan masyarakat luar bandar, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memilih Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, Johor sebagai Kampung Angkat Madani.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, pihaknya menyahut saranan Perdana Menteri dengan menjayakan Program Kampung Angkat Madani bagi membantu komuniti yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan desa dan bandar seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Antara komponen utama program ini termasuklah penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya, lampu jalan, kemudahan masyarakat, capaian internet serta pelbagai kemudahan lain yang menyokong kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, APM memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program tersebut melalui penyelarasan inisiatif dan pelaksanaan latihan berkaitan pertahanan awam kepada komuniti Felda berkenaan.

Menurutnya, pelbagai usaha sedang dibincangkan bagi menaik taraf infrastruktur di Felda Air Tawar 1.

Jelasnya, antara agenda yang dirancang termasuk pembaikan dan naik taraf tandas awam, kawasan tanah perkuburan, prasarana sekolah serta dewan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, perancangan lain yang turut dibincangkan ialah naik taraf pos komuniti Madani, penubuhan Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA), penyediaan peralatan keselamatan komuniti, pembaikan sistem perparitan Klinik Desa serta pembinaan mercu tanda jalan masuk.

“Penubuhan Pasukan Bantuan Civil Defence Auxiliary (CDA) di peringkat komuniti Felda ini bertujuan membentuk masyarakat yang lebih bersiap siaga, berdaya tahan terhadap bencana dan sentiasa peka terhadap aspek keselamatan awam,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memahami keperluan sebenar komuniti, Aminurrahim turut mengadakan lawatan tapak ke beberapa lokasi utama di Felda Air Tawar 1.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau sendiri keadaan semasa infrastruktur setempat termasuk kemudahan sekolah, tandas awam, dewan IKS serta kawasan tanah perkuburan.

Aminurrahim berkata, lawatan itu membolehkan perancangan penambahbaikan dibuat secara lebih holistik dan berfokus.

Selain itu, katanya, ia bertujuan menjamin pelaksanaan inisiatif yang benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk setempat.

Beliau menambah, usaha meningkatkan infrastruktur di kawasan Felda tersebut turut mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan lain.

Menurutnya, kerjasama erat itu melibatkan agensi dan pertubuhan komuniti tempatan seperti Pejabat Felda, Sekolah Kebangsaan Air Tawar 1, Klinik Desa, Kolej Komuniti Bandar Penawar, Giat MARA, pengusaha IKS serta Ketua Kampung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!