Pelajar kolej dibius, dirogol dan diugut sebar video

Polis di Bhopal menahan tiga lelaki berhubung dakwaan kes rogol berkumpulan. - Foto: India Today
Polis di Bhopal menahan tiga lelaki berhubung dakwaan kes rogol berkumpulan. - Foto: India Today
A
A
A

MADHYA PRADESH, INDIA - Beberapa pelajar kolej wanita di Bhopal didakwa dibius, dirogol dan diperas ugut oleh sekumpulan lelaki yang merakam perbuatan berkenaan.

Siasatan polis mendedahkan salah seorang daripada tiga tertuduh yang ditahan, Sahil menjalankan kelas tarian dan pernah didakwa melakukan serangan seksual terhadap wanita.

Lelaki yang berasal dari Panna itu juga disebut dalam salah satu laporan maklumat pertama (FIR) yang didaftarkan di balai polis Bagsewania Bhopal.

Polis berkata, Sahil pernah membawa wanita menaiki basikalnya, membawa mereka ke pub dan memperkenalkan mereka kepada rakan lain dalam kumpulannya.

Pada masa ini, tertuduh memujuk dan menjanjikan wanita tersebut gaya hidup mewah serta meyakinkan mereka untuk mengambil dadah.

Selepas itu, wanita berkenaan dibawa ke sebuah bilik ketika mereka dalam keadaan mabuk dan dirogol beramai-ramai sementara tertuduh turut merakam aksi tersebut.

Sahil didakwa merogol wanita itu beberapa kali dan mengugut untuk berkongsi video mereka, selain mendesak mereka untuk mengekalkan hubungan dengan rakan-rakannya yang lain.

Seorang pelajar wanita lain juga memfailkan laporan tehadap tertuduh lain dipanggil dengan nama Farhan atas dakwaan menjadi mangsa rogol lelaki itu.

Artikel Berkaitan:

Polis berkata, mangsa cuba menjauhkan diri daripada Farhan dengan berpindah ke Indore, namun usaha itu gagal selepas lelaki berkenaan berhasil menjejaki wanita tersebut.

Menurut polis, wanita itu juga mendakwa dirogol oleh rakan Farhan, Ali dan perbuatan tersebut dirakam dengan video.

Mangsa mendakwa telah mengalami gangguan serius dan tekanan berterusan, termasuk desakan berkaitan isu perkahwinan dan penukaran agama.

Mangsa akhirnya memberitahu rakan tentang pengalaman pahit berkenaan sebelum membuat laporan polis dan memfailkan FIR terhadap Farhan.

Polis sedang menyiasat peranan tertuduh lain berhubung perkara itu.

Setakat ini, tiga tertuduh iaitu Sahil, Farhan dan Saad telah ditahan manakala tiga lagi rakan lain, Ali, Abrar serta Nabeel masih belum dikesan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!