Tekun Nasional suntik RM8.8 juta kepada 306 usahawan TVET

KUALA LUMPUR – Tekun Nasional terus memperkasa ekonomi negara dengan memperluaskan sokongan kepada peserta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pembiayaan berjumlah RM8.8 juta kepada 306 usahawan setakat April 2025.
Pembiayaan itu membabitkan pelbagai sektor termasuk bengkel motosikal dan kereta, pendawaian elektrik, kimpalan dan pertukangan besi, perkhidmatan mekanikal serta bengkel baik pulih elektronik.
Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, agensi itu komited mendukung pembangunan tenaga kerja mahir dan keusahawanan negara selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
"Tekun Nasional memahami keperluan peserta TVET untuk membina perniagaan berasaskan kemahiran mereka.
“Justeru, kami menyediakan pembiayaan dengan kadar keuntungan berpatutan serta bimbingan keusahawanan bagi memastikan mereka lebih berdaya saing di pasaran," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, sejajar dengan hasrat itu, Tekun Nasional akan melancarkan skim khas pembiayaan mikro untuk peserta TVET dengan peruntukan awal sebanyak RM30 juta yang boleh ditambah mengikut keperluan.
Tambahnya, selain kemudahan pembiayaan, Tekun Nasional turut menyediakan program pembangunan kapasiti seperti bengkel keusahawanan, kursus pengurusan kewangan dan bimbingan perniagaan supaya usahawan TVET dapat menguruskan perniagaan secara mampan.
"Tekun Nasional mengalu-alukan lebih ramai peserta TVET untuk memanfaatkan peluang ini dan bersama-sama memacu negara ke arah berpendapatan tinggi melalui keusahawanan berasaskan kemahiran," katanya lagi.
Peserta yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di mana-mana pejabat cawangan Tekun Nasional di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

