Belasah adik sebab suka main suis lampu!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DUNGUN - Seorang pembantu kedai cedera dibelasah abang kandungnya selepas dituduh bermain suis lampu dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Alur Rekam Pulau Serai di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam, wanita berusia 34 tahun itu sedang berehat di ruang tamu ketika itu sebelum tiba-tiba didatangi suspek berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan terus meluru mendapatkan mangsa dan bertindak menumbuk kedua belah muka wanita itu dengan kuat.

"Kemudian suspek bertindak memukul seluruh anggota badan adiknya itu sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan tindakan wanita itu yang dikatakan selalu bermain suis lampu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Akibat perbuatan terbabit, mangsa mengalami bengkak di muka dan sakit di seluruh badan.

Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian selain bimbang keselamatan diri serta ahli keluarga lain, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Baharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.

Artikel Berkaitan: