Bersatu, PH mahu pertahankan Kedah

Mukhriz memberikan penerangan berhubung perkembangan semasa Bersatu di Kedah dan juga Pusat kepada lebih 2,000 ahli parti tersebut di Seri Mentaloon, semalam.
Mukhriz memberikan penerangan berhubung perkembangan semasa Bersatu di Kedah dan juga Pusat kepada lebih 2,000 ahli parti tersebut di Seri Mentaloon, semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) tetap mempertahankan Kedah daripada Pas selain menafikan dakwaan orang Melayu akan hilang identiti dan agama Islam apabila berada di bawah PH.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tidak ada alasan untuk menumbangkan kerajaan Kedah di bawah kepimpinannya, malah dakwaan kerajaan negeri dikuasai DAP juga tidak boleh diterima kerana parti itu hanya mempunyai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).

Jelasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ahli Bersatu namun hakikatnya telah dikuasai oleh UMNO.

"Kita perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan kembali tampuk kepimpinan parti ini.

"Tiada masalah atau isu yang timbul di Kedah. Menteri Besar, majoriti ADUN, majoriti penjawat awam dan Sultan Kedah adalah Melayu, jangan bimbang, kerajaan Kedah akan memberi keutamaan kepada kepentingan orang Melayu Islam tetapi pada masa sama akan jaga kepentingan kaum lain," katanya berucap pada Program Penerangan Bersatu Kedah kepada lebih 2,000 penyokong parti tersebut di Seri Mentaloon semalam.

Hadir sama dan turut memberikan penerangan adalah Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mukhriz nafi kerajaan Kedah goyah

Menurut Mukhriz, walaupun keadaan Bersatu umpama telur di hujung tanduk tetapi parti itu tetap mempertahankan Kedah dan tidak akan menyerahkan kepada kerajaan Pas.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata, negeri tersebut kini satu-satunya yang dipimpin oleh Bersatu selepas Johor dan Perak tumbang setelah PH tidak lagi menguasai kepimpinan Pusat.

"Sekiranya tumbangnya Kedah, maka akan tumbanglah Bersatu di peringkat nasional," katanya.

Mukhriz menegaskan, jawatan Pengerusi Bersatu kini masih lagi menjadi milik Tun Dr Mahathir Mohamad selepas peletakan jawatannya ditolak sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat.

Jelasnya, Bersatu mahu terus membuktikan kebenaran dan akan berusaha untuk menyelamatkan parti tersebut selepas pihaknya tidak boleh menerima setiap apa yang berlaku sejak lebih seminggu yang lalu.

"Saya sangat percayakan Muhyiddin kerana kami pernah sakit bersama dan kami tubuhkan Bersatu bersama sehingga mampu memenangi 13 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum ke-14," katanya.

Tambahnya, sembilan Ahli Parlimen yang dibawa menyertai Bersatu oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih belum mengisi borang dan pada waktu yang sama keahlian mereka juga belum diluluskan.

"Seramai 14 lagi ahli Parlimen yang menyertai Bersatu secara individu sebelum ini boleh dianggap sebagai ahli Parlimen UMNO dengan hanya 12 ahli Parlimen sahaja benar-benar bersama Bersatu.

"Daripada jumlah tersebut, enam ahli Parlimen Bersatu tidak menyokong Muhyiddin. Jadi disebabkan perkara itu, kita mengatakan jumlah yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebenarnya tidak tepat," katanya.