Amyra Rosli sebak lepaskan Amar Baharin sertai misi berbasikal ke Makkah

TIADA mana-mana isteri yang tidak gundah berpisah lama dengan sang suami, tambahan pula untuk tempoh masa yang agak lama.
Begitulah dirasai oleh pelakon, Amyra Rosli tatkala melepaskan suaminya yang juga aktor Amar Baharin dalam misi berbasikal ke Makkah yang bermula pada pagi Ahad.
Dalam ucapannya, Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli berkata, dia mungkin tidak secekal dua isteri Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang juga terlibat dalam misi sama.
"Saya mungkin tidak secekal kedua-dua isteri Datuk sebab pertama kali berpisah jauh dan untuk tempoh lama dengan suami," katanya yang dilihat sebak dan ditenangkan Amar.

Dalam masa sama, Amyra, 33, berharap misi suami dan Muqharabbin ke Tanah Suci Makkah berjaya.
"Saya mendoakan mereka sebagai musafir yang dilindungi dari hari ini sehingga sampai ke destinasi yang mereka tuju," ujarnya.
Dalam pada itu, Amar dalam satu temu bual memberitahu, dia percaya misi ini terjadi kerana jemputan dari ALLAH SWT.
"Kalau ALLAH tidak jemput, tidak kira sesenang mana, atau banyak masa sekali pun, kita tidak akan sampai
"Cuma cara jemputan ini adalah dengan saya berkayuh," jelasnya.
Bukan itu sahaja, bintang Berbahagi Suami ini mahu mencabar kemampuan diri dalam melakukan sesuatu yang jarang dibuat.

"Misi sebegini pun tidak selalu dilakukan, jadi saya nak cabar diri untuk lihat sejauh mana kemampuan saya, mengembara bersama Datuk ke Tanah Arab," katanya lagi.
Sementara itu, Amar, 40, dan Muqharabbin memulakan misi #JourneyToTanahHaram sejauh 8,000 kilometer (km) dengan berbasikal ke Makkah dari Padang Besar, Perlis pada pagi Ahad.
Mereka bertolak dari Padang Besar, Perlis pada jam 9 pagi dan acara pelepasan itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Amar dan Muqharabbin merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran sebelum tiba di Madinah pada Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!