Lelaki maut kereta bertembung lori

Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan lori di Jalan Senai-Seelong, awal pagi Isnin. Foto IPD Kulai
Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan lori di Jalan Senai-Seelong, awal pagi Isnin. Foto IPD Kulai
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Senai-Seelong di sini, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nahas tersebut pada jam 6.10 pagi yang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan lori jenis Isuzu.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Isuzu dipandu lelaki warga tempatan berusia 54 tahun sedang membelok masuk ke Simpang Kempas.

“Bagaimanapun, lori tersebut kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Seng Lee berkata, akibat pertembungan itu, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 42 tahun, mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa di talian 011-26081008, bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!