Peniaga raih RM20,000, umpan disambar siakap 'sesat'

Kelvin (tiga dari kiri) bersama Yusof (tengah) dan Mahadzir (dua dari kiri) dan Md Lasa (dua dari kanan) yang memenangi Shimano Surfcasting Challenge pada Ahad.
Kelvin (tiga dari kiri) bersama Yusof (tengah) dan Mahadzir (dua dari kiri) dan Md Lasa (dua dari kanan) yang memenangi Shimano Surfcasting Challenge pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - Siakap seberat 3.395 kilogram (kg) yang dipancing seorang peniaga dari Pasir Gudang, Johor membawa tuah apabila diisytiharkan juara Shimano Surfcasting Challenge di sini pada Ahad.

Yusof Md Zaini, 52, berkata, beliau tidak menyangka umpan udang kopek yang digunakan bagi memburu spesies belukang disambar siakap.

“Siakap adalah jenis ikan makan secara menyambar. Biasanya umpan hidup digunakan bagi memancing siakap. Malah perairan Tambak Pontian, bukanlah tempat spesies siakap. Agaknya sesat,’’ katanya berseloroh.

Sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam Shimano Surfcasting Tambak Pontian pada Ahad.
Sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam Shimano Surfcasting Tambak Pontian pada Ahad.

Pertandingan anjuran bersama Shimano Pte Ltd, OFT Pancing Sdn Bhd, Joran Unggul Event Management dan Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Perbandaran Pontian itu disertai lebih 500 peserta dari seluruh negara dan Singapura.

Tempat kedua disandang oleh Mahadzir Sanusi, 58, yang menjinakkan belukang seberat 2.325kg, manakala Md Lasa Mohamad, 47, yang menaikkan ikan duri 1.535kg di tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu, Yusof membawa pulang RM20,000, Mahadzir menerima RM4,000 manakala Md Lasa berpuas hati dengan RM2,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Pemasaran Shimano Pte Ltd, Kelvin Yiu dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi Kelab Sukan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Muniri Arsad dan Pengurus Joran Unggul, Amir Ali Mohamad.


Sementara itu, Kelvin berkata, Rumah Terbuka Shimano akan diadakan dua kali lagi iaitu pada 28 Jun di Kuantan, Pahang dan 28 November 2025 di Alor Setar.

Seiring dengan rumah terbuka itu, acara memancing akan diadakan pada 29 Jun di Pantai Sepat dan 29 November depan di Pantai Tanjung Dawai, Merbok, Kedah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!