'Saya perlukan sedikit masa lagi, selesai bayaran balik' - Kim Seri

SHAH ALAM - Pempengaruh media sosial, Kim Seri sekali lagi tampil membuat permohonan maaf kerana tidak dapat memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari seperti yang dijanjikan.
Kim Seri menerusi laman Instagram berkata, dia memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk berbuat demikian.
"Kepada semua yang menanti 1 Februari, mohon maaf kerana terlambat untuk kemas kini.
"Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua kerana terpaksa menunggu dan mengambil sedikit masa untuk selesaikan pembayaran balik.
"Saya perlukan sedikit masa sahaja lagi dan akan berusaha lebih lagi untuk selesaikan semua bayaran tersebut," katanya pada Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa individu didakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik pempengaruh tempatan yang menetap di Korea Selatan itu dengan jumlah kerugian hampir RM500,000.
Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JKSK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf turut mengesahkan menerima 24 laporan daripada mangsa penipuan pakej pelancongan terbabit.
Mengulas lanjut, Kim Seri berkata, dia berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

