Dua nelayan hilang sejak Jumaat ditemukan lemas

BATU PAHAT - Dua nelayan yang dilaporkan hilang sejak Jumaat selepas terjatuh ke laut berhampiran Kuala Sungai Suloh di sini, ditemukan lemas pada Ahad.
Mayat, Mahat Rasiman, 77, ditemukan pada jam 1 tengah hari, manakala Mohamad Nizam Sarman, 51, kira-kira 45 minit kemudian pada kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Kuala Sungai.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, sebelum itu pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu daripada anak salah seorang mangsa memaklumkan bapanya tidak pulang sejak keluar ke laut pada Jumaat.
"Sejurus aduan diterima, Bot Petir 51 Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses bedah siasat dan pengecaman oleh ahli keluarga," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir dari bot gentian kaca ketika sedang menangkap ikan.
Sementara itu, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!