Lelaki cedera kereta langgar pembahagi tol

KLANG - Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi tol di Plaza Tol Bukit Raja, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi.
"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Honda Jazz terbabas sendiri sebelum melanggar pembahagi tol," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang berusia 30-an tersepit di bahagian kaki kiri berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
"Mangsa telah diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan, manakala kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
