OKU ambil upah jahit baju

Ruzanna mengambil upah menjahit pakaian bagi menambah sumber pendapatan keluarganya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu. -Foto Bernama
Ruzanna mengambil upah menjahit pakaian bagi menambah sumber pendapatan keluarganya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun terpaksa berkerusi roda akibat kecacatan pada bahagian kaki, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Ruzanna Zainudin, 35, untuk berdikari dengan mengambil upah menjahit pakaian bagi menambah sumber pendapatan keluarganya.

Meskipun pergerakan harian beliau menggunakan kerusi roda sepenuhnya, namun ibu kepada seorang anak ini tetap cekal berusaha menjana pendapatan tambahan dengan mengambil upah menjahit bagi membantu suami, Mohd Nor Eizan Mamat Laksamana, 33, yang juga cacat fizikal dan hanya bekerja kampung.

“Saya tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai penyebab untuk meminta-minta tetapi mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherang di sini semalam.

Ruzanna yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal sejak lahir yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya lemah dan tidak mampu untuk berdiri mula membina kerjaya sebagai tukang jahit lebih 10 tahun yang lalu.

Menurutnya, pada tahun 2003 dia mula mengikuti bengkel kemahiran teknik jahitan pakaian swasta di ibu kota selama setahun dengan yuran bulanan sebanyak RM200.

“Selepas tamat mengikuti bengkel tersebut, saya bekerja di sebuah kilang pakaian seragam di Pengkalan Chepa, Kota Bharu sebagai tukang jahit selama setahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan bekerja sendiri,” katanya.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada enam adik-beradik itu berkata, dia kemudiannya memberanikan diri menjahit pakaian sendiri dan adik-beradiknya sebelum mula yakin untuk mengambil tempahan daripada pelanggan yang dilakukan sendiri di rumahnya. “Pelanggan yang hantar tempahan bukan sahaja daripada penduduk sekitar, malah ada juga pelanggan dari Kuala Lumpur, Pahang dan Terengganu.

“Saya mengenakan upah jahit bermula dari RM25 hingga RM45 bergantung kepada jenis kain dan fesyen,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ruzanna berkata, dengan ke-adaannya yang serba kekurangan, dia hanya mampu mengambil tempahan mengikut kemampuan kerana khuatir tidak mampu menyiapkan tempahan pelanggan.

“Pada bulan-bulan biasa saya menerima kira-kira 40 tempahan pakaian dan apabila menghampiri musim perayaan, tempahan akan mencecah sehingga 150 pasang.

“Saya boleh menyiapkan satu hingga dua pasang baju sehari bergantung kepada jenis rekaan,” katanya yang mampu memperoleh pendapa-tan kira-kira RM1,000 sebulan pada bulan-bulan biasa.

Menceritakan kesukaran yang dihadapi ketika bekerja, Ruzanna berkata, antara cabaran dan kesukarannya adalah apabila perlu mengambil ukuran badan pelanggan.

“Disebabkan saya tidak boleh berdiri, saya terpaksa meminta pelanggan untuk duduk bagi mengambil ukuran badan mereka.

“Malah, ada ketika saya terpaksa meminta mereka mengukur sendiri tetapi ia tidak menjadi masalah kepada pelanggan yang sudah biasa dengan keadaan diri saya,” kata beliau. - Bernama