AS lancar serangan ke atas Taliban

Pejuang Taliban ketika meraikan detik bersejarah yang menyaksikan perjanjian damai ditandatangani antara AS dan wakil kumpulan militan itu di Doha pada Sabtu lalu. - FOTO: AGENSI
Pejuang Taliban ketika meraikan detik bersejarah yang menyaksikan perjanjian damai ditandatangani antara AS dan wakil kumpulan militan itu di Doha pada Sabtu lalu. - FOTO: AGENSI
A
A
A

KABUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) hari ini melancarkan serangan udara menyasarkan kedudukan pejuang Taliban di Afghanistan beberapa jam selepas Presiden Donald Trump mendakwa beliau 'berkomunikasi dengan baik' bersama pemimpin kumpulan itu.

Jurucakap tentera AS di Kabul, Kolonel Sonny Leggett memaklumkan operasi udara itu dilancarkan sebagai respon terhadap serangan dilancarkan Taliban yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 20 anggota keselamatan terkorban.

Difahamkan, serangan tersebut adalah yang pertama ke atas Taliban dalam tempoh 11 hari sejak kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan untuk meredakan ketegangan yang membawa kepada perjanjian damai dimeterai di Doha pada Sabtu lalu.

Menurut Leggett, serangan udara tersebut adalah satu bentuk pertahanan ke atas pasukan keselamatan Afghanistan.

"Kami masih komited dengan usaha damai, namun bertanggungjawab untuk melindungi Kabul. AS dan Afghanistan cuba untuk mematuhi perjanjian damai yang telah dicapai. Tetapi, Taliban seperti cuba untuk menolak peluang tersebut.

Semalam, Taliban didakwa telah melancarkan kira-kira 43 serangan ke atas pusat pemeriksaan di Helmand beberapa jam selepas gencatan senjata separa berakhir. - Agensi

Artikel Berkaitan: