Wanita dijangkiti virus Herpes selepas berkaraoke

Seorang wanita China dijangkiti virus Herpes dipercayai merebak melalui mikrofon semasa berkaraoke. Gambar hiasan 123rf
Seorang wanita China dijangkiti virus Herpes dipercayai merebak melalui mikrofon semasa berkaraoke. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

ZHEJIANG - Seorang wanita dari wilayah Zhejiang mendakwa dirinya dijangkiti virus Herpes selepas memegang mikrofon terlalu rapat ke mulut ketika berkaraoke.

Wanita yang tidak dinamakan itu berkongsi kisahnya di Douyin tentang bagaimana dia dijangkiti virus HSV-1, yang lazimnya menyebabkan kudis pada sekitar mulut, kira-kira lapan tahun lalu.

Pada 2017, dia mengunjungi sebuah pusat karaoke di Zhejiang dan terlalu bersemangat ketika menyanyi, menyebabkan mikrofon dipegang terlalu dekat ke mulut.

Beberapa ketika kemudian, satu lepuh kecil yang berisi nanah muncul di sekitar mulutnya. Walaupun terasa sakit dan gatal, dia tidak mengendahkannya kerana ia hilang selepas beberapa hari.

Bagaimanapun, lepuh itu kembali dalam masa singkat, memaksanya mendapatkan rawatan perubatan sebelum disahkan dijangkiti virus HSV-1.

“Saya perlu membawa virus ini sepanjang hayat. Tiada ubat untuk menyembuhkannya, hanya ubat untuk mengurangkan kesakitan dan gejala ini akan berulang,” katanya.

Wanita itu yakin mikrofon karaoke menjadi punca jangkitan kerana sebelum itu dia tidak pernah mengalami sebarang lepuh herpes.

Kini, selepas lapan tahun bergelut dengan penyakit itu, lepuh mula muncul di pipinya sejak tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Klip video wanita berkenaan tular di media sosial China. Bagaimanapun, pakar dermatologi masih belum mengesahkan sama ada seseorang benar-benar boleh dijangkiti virus HSV-1 hanya melalui sentuhan bibir dengan mikrofon tercemar. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!