Bergson bangga jika diberi peluang sarung jersi Harimau Malaya

Bergson dicanang akan dinaturalisasikan untuk memperkuat jentera serangan Harimau Malaya.
Bergson dicanang akan dinaturalisasikan untuk memperkuat jentera serangan Harimau Malaya.
A
A
A

PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva meluahkan rasa bangga dan kesediaan sekiranya diberi peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata, beliau amat menghargai layanan serta sokongan padu yang diterima daripada rakyat Malaysia khususnya penyokong bola sepak di Johor sejak menyertai JDT pada tahun 2021.

Menurut Bergson, hubungan erat yang terjalin antara dirinya dan peminat tempatan menjadikan dia lebih dekat dengan rakyat Malaysia, sekali gus menimbulkan rasa bangga dan teruja sekiranya dapat mewakili negara ini di peringkat antarabangsa.

“Saya tahu bagaimana mereka melayan saya, terutama di Johor kerana kami berada di sana hampir setiap hari. Di jalanan, ramai yang menegur dan memberikan sokongan. Layanan mereka sangat mesra dan membuatkan saya rasa dihargai.

“Saya sangat gembira berada di sini dan boleh dikatakan saya adalah peminat besar kepada rakyat Malaysia. Mereka benar-benar membuatkan saya rasa seperti berada di rumah sendiri.

“Sekiranya diberi peluang untuk mewakili sebuah negara seperti Malaysia, saya amat berbesar hati. Ia adalah satu penghormatan yang tidak ternilai dan saya akan menyambut peluang itu dengan rasa bangga,” katanya.

Sebelum ini, Bergson antara pemain import yang dicanang akan dinaturalisasikan untuk memperkuatkan jentera serangan Harimau Malaya.

Namun, Bergson perlu menunggu sehingga tahun depan untuk dinaturalisasikan kerana perlu mematuhi syarat bermain di negara ini selama lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Bergson yang kini berusia 33 tahun, telah mencipta pelbagai rekod bersama JDT termasuk memenangi beberapa kejuaraan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA serta dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam beberapa musim.

Malah, beliau juga masih segar dengan kejayaan merangkul tiga trofi iaitu anugerah Kasut Emas, Pemain Import Terbaik dan pilihan peminat Fans XI (penyerang) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!