Polis pantau dakwaan pemeriksaan palsu di Putra Heights

Tular satu hantaran dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang memberi amaran kepada penduduk mengenai kehadiran kumpulan individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri. Gambar kecil: Wan Azlan
Tular satu hantaran dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang memberi amaran kepada penduduk mengenai kehadiran kumpulan individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri. Gambar kecil: Wan Azlan
A
A
A

SUBANG JAYA – Polis mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan sekumpulan individu menyamar sebagai pegawai kementerian untuk menjalankan pemeriksaan kad pengenalan di kawasan Putra Heights di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, semakan mendapati tiada aduan daripada masyarakat atau laporan polis diterima setakat ini.

"Semakan telah dibuat, tiada aduan daripada masyarakat dan tiada laporan polis diterima. Bagaimanapun, perkara ini akan dipantau pihak polis dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular satu hantaran dalam kumpulan WhatsApp yang memberi amaran kepada penduduk mengenai kehadiran individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai Kementerian Dalam Negeri.

Mereka dikatakan membawa dokumen rasmi termasuk kepala surat kementerian, serta menjalankan pemeriksaan kad pengenalan sebagai persediaan untuk bancian. Dakwaan itu turut menyebut individu terbabit meminta mengambil gambar dan cap ibu jari pemilik rumah menggunakan komputer riba serta mesin biometrik.

Bagaimanapun, mesej tersebut turut menegaskan bahawa tiada sebarang inisiatif rasmi dilakukan oleh kerajaan dan menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada individu mencurigakan.

Difahamkan, kumpulan berkenaan didakwa kelihatan di kawasan Seksyen 7, Seksyen 9 dan Putra Heights, Subang Jaya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!