Pelajar sekolah maut dirempuh MPV
JOHOR BAHRU – Seorang pelajar sekolah maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Sungai Tiram menghala ke Bandar Tiram awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun yang membonceng motosikal jenis Demak EX90 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Avanza dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun secara tiba-tiba mengelak seekor babi liar yang melintas jalan.
"Akibat terkejut, pemandu berkenaan membelok ke kanan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki dua remaja terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, penunggang motosikal yang juga berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.
"Pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.
Tambah Mohd Sohaimi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

