Datuk Bandar maut ditembak ketika ceramah pilihan raya

CAGAYAN – Datuk Bandar Rizal, Joel Ruma maut ditembak ketika sedang menyampaikan ceramah kempen pilihan raya di sebuah kampung di Iluru malam Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan itu, mangsa ditembak ketika berada di dalam gimnasium Kampung Iluru sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Tuao, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Menurut maklumat awal Pejabat Maklumat Wilayah Cagayan, kejadian itu turut mengakibatkan dua individu lain cedera iaitu Merson Abiguebel dan Melanie Talay. Bagaimanapun, keadaan mereka masih belum didedahkan setakat ini.
Insiden berkenaan menggemparkan masyarakat setempat dan mencetuskan siasatan serta tindakan segera daripada pihak polis.
Polis kini melancarkan gerakan memburu suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi memburu sedang giat dijalankan, manakala siasatan turut tertumpu kepada beberapa kemungkinan motif, termasuk persaingan politik, dendam peribadi atau konflik lain yang mungkin menjadi punca kejadian. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

