Ahmad Faizal lapor polis tuduhan isu ladang babi

TAPAH - Satu laporan polis dibuat terhadap sebuah akaun Facebook yang menggunakan nama sebuah parti politik yang didakwa memfitnah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Sabtu.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas beliau, hantaran itu dengan jelas merujuk kepada dirinya dengan memaparkan gambar dan menulis rujukan secara khusus, iaitu bekas MB Perak PN.
"Hantaran ini adalah satu fitnah berniat jahat yang sengaja dilakukan untuk menjatuhkan imej dan reputasi saya.
"Laporan polis ini adalah untuk meminta pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang telah melakukan dan menyebarkan fitnah jahat serta merosakkan imej dan reputasi peribadi saya secara khusus dan kepada PN secara amnya," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan bahawa Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menafikan dakwaan yang dibuat oleh laman Facebook milik sebuah parti politik berkaitan kelulusan ladang babi di Perak.
Menurutnya, hantaran yang dibuat di Facebook itu disifatkan sebagai fitnah jahat yang sengaja dilontarkan susulan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

