Hasrat PSG tak kesampaian

Reaksi kecewa pemain PSG selepas tewas kepada Nice. Foto AFP
Reaksi kecewa pemain PSG selepas tewas kepada Nice. Foto AFP
A
A
A

IMPIAN Paris Saint-Germain (PSG) untuk menamatkan musim Ligue 1 tanpa sebarang kekalahan lebur selepas tunduk 1-3 kepada Nice di Parc des Princes, awal pagi Sabtu.

Kekalahan itu hadir hanya beberapa hari sebelum pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Arsenal.

PSG sebelum ini mengidam menjadi kelab pertama dalam sejarah saingan liga utama Perancis melengkapkan musim tanpa tewas, namun dua jaringan Morgan Sanson serta satu gol Youssouf Ndayishimiye menyaksikan pelawat pulang dengan tiga mata penuh.

Fabian Ruiz sempat menyamakan kedudukan buat PSG pada penghujung babak pertama, namun Sanson sekali lagi merobek gawang tuan rumah hanya 22 saat selepas babak kedua bersambung, sebelum Ndayishimiye menambah duka menerusi tandukan hasil sepakan percuma Badredine Bouanani.

Pengendali PSG, Luis Enrique mengakui kekalahan itu tidak menggambarkan corak permainan sebenar anak buahnya yang menguasai 76 peratus penguasaan bola serta mencatat lebih 30 percubaan ke arah gawang.

“Bagi saya, keputusan ini tidak adil. Tetapi itulah bola sepak, kami perlu terima,” katanya.

Kekalahan itu juga menamatkan rekod 30 perlawanan tanpa kalah PSG musim ini serta rentetan 41 aksi menentang kelab Perancis tanpa tewas sejak 12 Mei tahun lalu ketika mereka tumpas 1-3 kepada Toulouse di gelanggang sama.

Ia juga bermakna rekod tanpa kalah paling panjang dari permulaan musim masih kekal milik Nantes yang tidak tewas dalam 32 perlawanan ketika menjulang trofi pada musim 1994/95.

Artikel Berkaitan:

Luis Enrique bagaimanapun enggan terlalu kecewa dan mahu pemainnya kembali fokus menjelang aksi pertama separuh akhir menentang Arsenal di London, Rabu depan.

“Mengejar rekod tambahan adalah antara sasaran kami dalam beberapa minggu terakhir ini, tetapi ia tidak menggugat matlamat utama kami — mara ke final Liga Juara-Juara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!