PRK Ayer Kuning: Calon PSM jadi orang pertama mengundi

Bawani menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas selesai membuang undi di SJKC Pheng Lok pada Sabtu.
Bawani menunjukkan jari yang dicelup dakwat selepas selesai membuang undi di SJKC Pheng Lok pada Sabtu.
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Bawani KS menjadi pemilih berdaftar pertama yang selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok, di sini pada pagi Sabtu.

Bawani, 39, tiba di Pusat Daerah Mengundi (PDM) tersebut tepat jam 8 pagi diiringi Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dan mengundi di saluran dua.

Pengerusi PSM Perak itu berkata, pihaknya sudah melakukan yang terbaik dan berserah dengan keputusan pilihan raya sama ada memihak atau sebaliknya.

“Lega sangat dan kami sudah cuba buat yang terbaik sepanjang kempen dua minggu ini.

“Selebihnya terserah kepada rakyat Ayer Kuning, semoga mereka membuat pilihan terbaik,” katanya kepada Sinar Harian.

Bawani dicabar dua lagi calon iaitu Dr Mohamad Yusri Bakir daripada Barisan Nasional (BN) dan Abd Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Ayer Kuning melibatkan seramai 31,281 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Mohamad Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada individu yang berhak mengundi secara pos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!