Lelaki berbogel mengamuk, buat 20 jenayah dalam tempoh 90 minit

Suspek dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 jenayah dan kemalangan dalam tempoh 90 minit, termasuk kecurian kenderaan, rompakan serta langgar lari. Sumber foto FNN
Suspek dipercayai terlibat dalam kira-kira 20 jenayah dan kemalangan dalam tempoh 90 minit, termasuk kecurian kenderaan, rompakan serta langgar lari. Sumber foto FNN
A
A
A

TOKYO - Seorang lelaki meracau dan dipercayai ditahan dalam keadaan berbogel selepas terlibat dalam kira-kira 20 jenayah atau kemalangan dalam tempoh 90 minit, termasuk kecurian kenderaan, rompakan serta langgar lari.

Menurut laporan Fuji News Network (FNN), suspek berusia 48 tahun itu ditahan pihak polis sekitar jam 9.30 malam selepas menceroboh sebuah sekolah tuisyen lalu menyerang kakitangannya di Jepun, pada 21 April lalu.

Kejadian bermula kira-kira jam 9 malam apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Bandar Kawaguchi menunjukkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam merempuh kereta hijau secara berdepan.

Suspek yang berbogel dilihat memanjat bonet kenderaan tersebut, memaksa membuka pintu pemandu dan menarik keluar seorang wanita berusia 40-an dari dalam kereta.

Kira-kira 10 minit kemudian pula, suspek dikesan berada di sebuah kedai serbaneka sejauh 1.7 kilometer (km) dari lokasi kejadian dan mencuri beberapa barangan.

Tidak lama kemudian, lelaki itu merampas sebuah teksi yang ketika itu sedang membawa dua penumpang.

Wakil syarikat teksi terlibat berkata, suspek melompat ke atas bonet, menendang cermin depan sehingga pecah dan mengugut sebelum memaksa pemandu keluar.

Dia kemudian memecut pergi dengan membawa dua penumpang yang masih berada dalam teksi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Rekod sistem kedudukan global (GPS) pula menunjukkan, teksi yang dicuri itu dipandu laju sehingga 107 km sejam menuju ke kawasan berhampiran Soka, sebelum terbabas berhampiran sebuah sekolah tuisyen.

Pada jam 9.30 malam, suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dalam keadaan berbogel dan menceroboh masuk ke sekolah tuisyen terbabit ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.

Menurut laporan The Mainichi, suspek menyerang seorang kakitangan yang bertanya tujuannya dengan memukul kepala mangsa menggunakan cawan, mengakibatkannya tercedera dan menerima 10 jahitan.

Suspek turut menarik bahu seorang pelajar perempuan menyebabkan pelajar itu luka di lutut ketika cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, pihak polis berjaya menahannya di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pihak berkuasa juga menyiasat kaitan suspek dengan beberapa kes jenayah lain yang dilaporkan pada malam sama.

Antara kes terbabit adalah dua insiden langgar lari membabitkan penunggang motosikal, di mana seorang daripada mangsa maut manakala seorang lagi dimasukkan ke hospital.

Susulan itu, seorang saksi memaklumkan bahawa salah satu motosikal diseret sejauh beberapa meter sebelum kenderaan terbabit melarikan diri.

Pihak polis percaya suspek mungkin memandu kenderaan dalam kejadian langgar lari berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!