Dua dalang edar ganja ke Eropah ditahan, dadah RM2.67 juta dirampas

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menahan dua dalang utama sindiket pengedaran dadah ke Eropah termasuk seorang warga China, selain merampas bunga ganja bernilai RM2.64 juta dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada Rabu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun.
“Tangkapan pertama dilakukan di sebuah kedai kopi di Sepang pada jam 5.25 pagi, manakala tangkapan kedua dilakukan di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang pada jam 6.15 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, penahanan tersebut membawa kepada penemuan 144 bungkus plastik lutsinar berisi ketulan disyaki bunga ganja seberat 75.51 kilogram di sebuah rumah sewa di Bukit Changgang, Banting, pada jam 9.35 pagi hari sama.
“Dadah bernilai RM2.64 juta ini dianggarkan boleh menjejaskan hingga 151,000 individu jika digunakan,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM25,327.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan adalah RM2.67 juta.
Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak Januari lalu dan menggunakan rumah sewa harian bernilai RM180 sebagai stor simpanan sebelum dadah diedarkan ke luar negara.
“Ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau dikesan. Suspek warga China turut disiasat berkaitan status dokumen perjalanan masuk ke negara ini,” katanya.
Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan saki-baki ahli sindiket bagi melumpuhkan sepenuhnya rangkaian pengedaran dadah terbabit.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menghubungi JSJN di talian hotline 012-208 7222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
