Kedah mahu jalin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan

Mukhriz (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat Exco yang pertama selepas pembentukan kerajaan baharu di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (kiri) ketika mempengerusikan mesyuarat Exco yang pertama selepas pembentukan kerajaan baharu di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat menjalin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan yang ditadbir Perikatan Nasional.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hubungan baik antara dua pihak wajar dikekalkan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, walaupun berbeza kepimpinan politik, negeri ditadbir pembangkang tidak sewajarnya didiskriminasi.

“Kami akan teruskan hubungan baik dengan kerajaan Pusat, barisan menteri Kabinet belum dilantik namun saya dapat bayangkan masih ada pemimpin dalam Kabinet baharu yang kita kenali dan ada hubungan rapat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco yang pertama selepas pembentukan kerajaan baharu di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, diharap kerajaan baharu meneruskan pendekatan diamalkan kerajaan terdahulu yang tidak memilih kasih dalam agihan dana pembangunan.

“Kita akan dapat buat perbandingan antara kerajaan PH bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerajaan Perikatan Nasional bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ketika itu, negeri pembangkang masih dapat dana daripada Pusat, contohnya Kelantan menerima RM400 juta. Kita akan lihat adakah kerajaan sekarang ambil pendekatan sama walaupun berbeza politik,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan terhadap kepimpinan pusat, Mukhriz berkata, seeloknya dikekalkan kemesraan tanpa melibatkan agenda politik.

“Tak semestinya menyokong, sebelum ini saya hadir mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dihadiri Menteri Besar Perlis dari Barisan Nasional (BN), tiada masalah malah permintaan beliau dilayan baik oleh Pusat. Hubungan seperti ini yang mahu kita kekalkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai negeri-negeri yang sebelum ini ditadbir Menteri Besar Bersatu, namun kini ditukar kepada Menteri Besar UMNO bawah Perikatan Nasional, Mukhriz berkata, satu-persatu Bersatu hilang tampuk kepimpinan di negeri dan perubahan ini akan menjadikan parti itu lemah.

“Saya tak pastilah dengan perubahan ini Bersatu akan jadi lebih kuat. Selepas Johor, Perak dan mungkin Melaka, negeri yang satu-satunya Menteri Besar Bersatu sekarang adalah Kedah. Kalau mahu ubah juga, Bersatu sudah tak miliki apa-apa di negeri,” katanya.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu turut kesal kerana persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung 9 Mac ini ditangguhkan pada 18 Mei depan.

“Agaknya mereka mahu buat persiapan, namun salah satu perkara yang mahu dielak adalah usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri. Mungkin ketika itu, sudah cukup bilangan Ahli Parlimen yang sokong atau mungkin juga menurun,” katanya.

Beliau turut mempersoal tindakan mendedahkan kepincangan pengurusan di Kementerian Pendidikan oleh individu tertentu sebagai tidak profesional.

“Kalau itu pendekatan diambil untuk beri gambaran buruk mengenai kerajaan terdahulu, ramai kalangan pemimpin Perikatan Nasional sebenarnya menteri dalam Kabinet terdahulu, kita terima tanggung jawab bersama apa jua kepincangan terdahulu terpalit juga pada kerajaan baharu,” katanya.