Ibu maut, anak parah MPV langgar belakang bas pelancong

Mangsa tersepit dalam kenderaan selepas terbabas lalu merempuh bas persiaran di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran.
Mangsa tersepit dalam kenderaan selepas terbabas lalu merempuh bas persiaran di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sulaman Gayang, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, wanita berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala anak lelakinya berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.41 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 25 kilometer dari BBP Tuaran.

"Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Alza yang terbabas lalu merempuh belakang bas pelancong yang berada di tepi jalan.

"Akibat kejadian itu, dua mangsa yang berada di dalam Perodua Alza tersepit dan operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan sebaik pasukan bomba tiba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan hasil pemeriksaan, mangsa lelaki mengalami kecederaan parah serta dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan.

"Sementara itu, ibu mangsa yang juga tersepit turut cedera parah dan meninggal dunia di lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 5.05 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!