Sambutan Aidilfitri Riang Ria UJ Raia meriah

Othman (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.
Othman (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.
A
A
A

PUTRAJAYA - UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn Bhd (UJ Hotels) terus mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya mencapai sasaran tahunannya bagi tahun 2024, sekali gus mengukuhkan jenama Hotel Raia sebagai rangkaian hotel pilihan utama rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Othman Semail berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama erat seluruh warga kerja serta sokongan berterusan daripada pemegang saham utama, Urusharta Jamaah Sdn Bhd.

“Hotel Raia baharu sahaja menyambut ulang tahun kelima sejak melalui proses transformasi daripada Hotel Tabung Haji. Kini jenama ini semakin kukuh dan diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Majlis Riang Ria UJ Raia kali ini cukup bermakna kerana bukan sahaja meraikan Aidilfitri, tetapi juga menjadi simbol penghargaan dan kesyukuran atas pencapaian yang telah diraih.

“Malah sambutan ini turut menyatukan pasukan makanan dan minuman (F&B) dari lima cawangan utama seluruh negara untuk majlis pertama kali di Lembah Klang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Hotel Raia di Marina Putrajaya pada Selasa.

OTHMAN
OTHMAN

Beliau berkata, penekanan kepada penjenamaan semula, pemulihan fasiliti serta pelaksanaan pelan strategik yang tersusun menjadi antara faktor utama kejayaan tahun ini.

“Antara penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk pemasangan Smart TV di bilik, pengubahsuaian ruang awam serta penyusunan semula menu restoran terutama di cawangan Alor Setar; Kedah dan Terengganu.

“Semua ini dilakukan bagi menjamin pengalaman tetamu yang lebih memuaskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan selain Alor Setar dan Terengganu, Hotel Raia mempunyai cawangan di Kuching, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

Tetamu yang hadir menunjukkan baucar diskaun bilik dan makanan yang diberikan kepada tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.
Tetamu yang hadir menunjukkan baucar diskaun bilik dan makanan yang diberikan kepada tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.

Menurut Othman, kejayaan Hotel Raia tidak terhenti di situ apabila syarikat kini sedang giat menyelesaikan fasa akhir bagi pembukaan Hotel Raia Beach Resort di Port Dickson (Raia PD) yang dijangka mula beroperasi Julai ini.

“Kita sasar Raia PD sebagai destinasi pilihan keluarga yang ingin bercuti di tepi pantai dalam suasana santai, mesra dan selesa. Ia akan beroperasi sebagai hotel empat bintang dan bakal menjadi mercu tanda baharu di kawasan itu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan perancangan untuk memperluaskan lagi khidmat dan fasiliti Hotel Raia termasuk potensi pembukaan cawangan baharu di Langkawi serta perluasan perkhidmatan perkahwinan dan acara di Pulau Pinang.

“Contohnya di Pulau Pinang, kita dah mula tawarkan ‘garden wedding’. InsyaALLAH jika tiada halangan, Langkawi akan jadi lokasi seterusnya dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi,” ujarnya.

Tetamu yang hadir menikmati hidangan pulut, serawa dan gulai ikan temenung yang disediakan pada majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.
Tetamu yang hadir menikmati hidangan pulut, serawa dan gulai ikan temenung yang disediakan pada majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.

Penglibatan bersama masyarakat

Dalam pada itu, UJ Hotels turut merangka pelbagai program yang menarik antaranya menganjurkan Larian Hotel Raia iaitu Raia Balloon Run 2025 di ibu negara pada 27 Julai ini sebagai sebahagian daripada komitmen kepada masyarakat.

“Larian ini dijangka melibatkan penyertaan sekitar 700 peserta dan diadakan di kawasan sekitar Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.

“Ia bukan sekadar acara sukan tetapi satu bentuk penglibatan bersama masyarakat,” katanya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan dan warga kerja yang terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi. “Sesuai dengan cogan kata kami, ‘hotel untuk semua’, kami komited menyediakan penginapan selesa, mesra harga dan selesa untuk semua.

Dari kanan: Cef Guy Alden Peter dan Ridzuan Manuil dari Raia Hotel Kota Kinabalu menyediakan hidangan tradisional Ambuyat pada Majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.
Dari kanan: Cef Guy Alden Peter dan Ridzuan Manuil dari Raia Hotel Kota Kinabalu menyediakan hidangan tradisional Ambuyat pada Majlis Hari Raya 'Riang Ria UJ Raia'.

“Dengan sokongan berterusan, kami yakin Hotel Raia mampu melangkah lebih jauh dan menjadi antara peneraju industri hotel di Malaysia,” katanya.

Othman turut merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung yang hadir ke majlis Aidilfitri tahun ini dan berharap jenama Hotel Raia terus diterima masyarakat.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Doakan agar Hotel Raia terus berkembang dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia,” ujarnya.

Majlis Riang Ria UJ Raya yang berlangsung meriah itu turut dihadiri wakil pemegang taruh, pihak berkepentingan, rakan niaga dan warga kerja dari seluruh cawangan Hotel Raia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!