NGO sokong kerajaan baharu tumpu ekonomi rakyat

Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa
Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menyokong saranan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus memacu agenda negara dengan menumpukan usaha membantu ekonomi rakyat berpendapatan rendah dan miskin.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, pelaksanaan itu boleh dilakukan dengan pengukuhan segmen ekonomi rakyat dengan mengumumkan pelbagai dasar mikro yang merangsang ekonomi domestik bagi merapatkan jurang ekonomi di antara yang kaya dan miskin.

Mohd Zai juga berkata kerajaan boleh mengumumkan beberapa insentif segera kepada golongan petani, nelayan, pekebun kecil, peneroka, penternak dan usahawan kecil bagi memberi rangsangan untuk merancakkan ekonomi domestik.

"Ia akan memberi kelegaan kepada rakyat yang selama ini agak terabai," kata Mohd Zai dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, tumpuan juga wajar diberikan kepada usaha memulihkan perpaduan kaum dalam kerangka perpaduan nasional, memupuk identiti kebangsaan cintakan negara dan membentuk sikap jati diri sebagai rakyat Malaysia.

"Semoga kerajaan baharu ini merupakan kerajaan yang inklusif dan menghormati semua kaum serta agama, meliputi Sabah dan Sarawak bagi membangunkan rasa bangga kepada identiti negara bangsa Malaysia yang lebih sejahtera dan harmoni serta adil," katanya.

Artikel Berkaitan: