Saya sedia berkhidmat, kata Khalid Ibrahim

Abdul Khalid ketika bertemu Abdul Hadi di kediamannya malam Isnin lalu. - Foto: FB Abdul Khalid Ibrahim
Abdul Khalid ketika bertemu Abdul Hadi di kediamannya malam Isnin lalu. - Foto: FB Abdul Khalid Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan diri untuk berkhidmat jika beliau diperlukan membantu kerajaan.

Bekas pemimpin itu juga mengakui banyak perkara yang perlu diselesaikan dan berusaha mencari jalan serta strategi untuk menguatkan perpaduan ummah.

“Pastinya politik tanah air juga sempat disentuh. Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru kerana menjadi sebahagian kepada usaha penyelesaian polemik kepimpinan negara pada minggu lalu yang mana akhirnya rakyat menyaksikan tertubuhnya kerajaan baharu,” katanya menerusi status dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Beliau turut memuat naik gambar pertemuan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kediamannya malam Isnin lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu beliau dan Abdul Hadi membincangkan masalah dan cabaran ummah bukan sahaja di rantau ini tetapi di Timur Tengah.

Abdul Khalid berkata, beliau pasti isu yang berlaku dalam negara mencabar serta memerlukan niat serta iltizam kuat untuk penyatuan ummah.

Katanya, tanpa niat yang betul serta istiqomah, beliau percaya kemelut tidak akan diselesaikan dengan baik.

“InsyaAllah, jika diperlukan, saya bersedia menghulur tangan membantu dan memberi khidmat. Amat penting bagi Pas untuk mengambil peluang untuk membina kepercayaan rakyat sebagai kerajaan yang amanah, cekap dan telus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berbesar hati menerima hadiah buku terbaru Abdul Hadi bertajuk ‘Ringkasan Aliran Mazhab Aqidah dan Kumpulan Umat Islam’.

“Saya berdoa agar Tuan Guru dikurniakan dengan kesihatan yang baik agar dapat menjalankan tanggungjawab yang barang pasti amat berat dan mencabar ini. Moga Allah SWT memberkati segala usaha kita,” katanya.