Pengaruh keluarga ustaz, pengundi sudah kenal lama


TAPAH - 'Kami kenal dia sejak kecil. Bila tahu jadi calon, ramai rasa yakin dan bangga.'
Itu antara perkongsian pengundi apabila Barisan Nasional (BN) meletakkan Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Rata-rata mereka mengenali Mohamad Yusri secara peribadi dan melalui bapanya iaitu Allahyarham Ustaz Bakir yang merupakan guru agama disegani dan dihormati.
Hubungan baik dengan masyarakat menjadikan pencalonan Mohamad Yusri bukan sekadar langkah politik, tetapi manifestasi kepercayaan akar umbi terhadap warisan kepimpinan tempatan.

Abdul Razak Ismail, 39, dari Kampung Tengah Sungai Lesong berkata, figura yang mesra disapa Ustaz Yusri bukanlah asing dalam kalangan penduduk di kawasan DUN itu.
Katanya, sejak dahulu lagi, bekas guru dan pensyarah itu aktif dalam aktiviti masyarakat dan menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang baik.
"Saya dengan Ustaz Yusri satu kampung, rumah saya di tengah dan rumah dia di hujung kampung. Dari zaman arwah ayahnya dan ahli keluarganya, semua adalah kenalan kami.
"Memang mereka keluarga yang menjaga hubungan baik sesama masyarakat, datang jemputan kenduri dan solat berjemaah di surau," katanya.
Peniaga itu berkata, latar belakang Mohamad Yusri yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dapat dimanfaatkan ke arah penambahbaikan infrastruktur pendidikan di kawasan tersebut.
"Insya-ALLAH, beliau akan melahirkan generasi pendidik untuk menjadi lebih berkembang pada masa akan datang," katanya.
Azhar Yahia, 56, dari Kampung Sungai Keroh antara yang sering mengikuti ceramah dan kelas agama Allahyarham Ustaz Bakir di masjid.

Katanya, ilmu yang dicurahkan Allahyaraham mengajar mengaji dan kelas fardu ain, banyak membantu pembangunan agama Islam di kawasan itu.
"Ayahnya dulu selalu datang mengajar di masjid di sini. Dengan Ustaz Yusri pun saya kenal.
"Dia selalu makan di sini, ramah menegur orang ramai," katanya yang membuka kedai sarapan pagi di Air Kuning.
Pengaruh Ustaz Bakir sangat mendalam bukan hanya dalam kalangan Melayu Islam, malah dihormati masyarakat pelbagai kaum.
Sebagai guru agama, beliau dikenang insan yang berwibawa dan menjadi rujukan utama dalam soal keagamaan serta kemasyarakatan.
"Arwah Ustaz Bakir tak memilih dalam berkawan, kalau jumpa di kedai kopi, elok sahaja kami boleh bersembang panjang.
"Saya menghormatinya sebagai guru agama," kata Brendy Rigap, 60, dari Kampung Orang Asli Sungai Kurong Dalam.
Dengan latar belakang keluarga yang baik dan pendidikan tinggi, beliau yakin, Mohamad Yusri boleh menjadi pemimpin yang membela nasib rakyat.
"Besar harapan saya agar Ustaz Yusri menang dan terus membela nasib Orang Asli di sini," katanya.
Mampu teruskan legasi Allahyarham Ishsam

Sebahagian besar pengundi masih mengingati jasa bekas ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang banyak menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan pendidikan di kawasan itu.
Ketika tinjauan dilakukan, dalam kalangan pengundi mahu kepimpinan wakil rakyat itu diteruskan dalam membela nasib rakyat.
Mereka melihat Mohamad Yusri sebagai individu paling tepat untuk meneruskan legasi tersebut.
Go Kok Leong, 55, dari Air Kuning berkata, sebelum ini Mohamad Yusri bersama Allahyarham Ishsam sering turun padang ke kawasan itu bagi meninjau masalah dihadapi penduduk dan peniaga terutama berkaitan kemudahan awam.
Katanya, dalam program kemasyarakatan yang melibatkan komuniti Cina, Setiausaha UMNO Bahagian itu juga kerap hadir bersama Allahyarham.
"Kami pun dah biasa nampak muka beliau, bukanlah ketika kempen pilihan raya sahaja. Jadi tidaklah kekok apabila berjumpa.
"Saya harap beliau dapat menjadi wakil rakyat dan sebagai penghubung suara penduduk kepada kerajaan.
"Banyak lagi isu setempat yang perlu diberi perhatian antaranya melibatkan selenggara jalan, lampu dan longkang," katanya.
Suri rumah, Devi, 66, dari Pekan Getah berkata, dia masih menaruh kepercayaan kepada wakil rakyat BN untuk mewakili kawasan tersebut sepertimana tradisinya sebelum ini.
"BN sudah tunjuk kemampuan boleh jadi wakil rakyat yang bagus. YB Ishsam, YB Samsudin (bekas ADUN, Datuk Samsudin Hassan) semua pun bagus. Kali ini pun mesti bagus juga," katanya.
APA KATA VETERAN UMNO

"Walaupun berstatus profesor dan berpelajaran tinggi, beliau tidak kekok menyantuni dan membina hubungan baik dengan masyarakat. Satu kerugian kepada DUN Ayer Kuning sekiranya menolak kepimpinan beliau." - Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Tapah, Rosle Mahmood.

"Saya dah kenal lama Ustaz Yusri kerana bersama-sama dengan arwah Ishsam. Saya kira dari segi pergaulan dan hubungan dengan masyarakat, beliau tidak menghadapi banyak masalah." - Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Tapah, Abd Wahid Hamzah.

Mohamad Yusri merupakan calon terbaik pilihan BN. Dari segi pergaulan, dia (Mohamad Yusri) seorang yang baik, ramah mesra, sering bertegur sapa dan hormat kepada veteran serta orang muda." - AJK Veteran UMNO Bahagian Tapah, Megat Zulkifle Megat Ardi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
