Lelaki ditahan bawa 5,000 anak pokok merbau seludup

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menahan seorang lelaki dan merampas 5,000 anak pokok merbau seludup di hadapan sebuah sekolah di Tok Deh di sini pada Ahad.
Rampasan bernilai RM550,000 termasuk lori itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan pada jam 8.30 malam.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 5,000 anak pokok merbau di dalam lori tersebut.
"Kita mengesyaki pokok itu mempunyai serangga perosak dan penyakit. Semasa ditahan lelaki berusia 42 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pokok tersebut dipercayai diseludup dari Thailand.
Katanya, kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan tanaman di Malaysia bebas dari serangga perosak dan penyakit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

