KPJ Healthcare rangkaian penjagaan kesihatan swasta terbesar

Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor pada Isnin.
Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) bergambar bersama tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR- Pembinaan Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor melambangkan komitmen berterusan KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) sebagai rangkaian penjagaan kesihatan swasta terbesar di negara ini.

Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, kemudahan yang disediakan di hospital swasta itu amat penting bagi membina sistem kesihatan yang lebih inklusif, responsif dan mampan.

“Kehadiran hospital ini memberi makna besar kepada penduduk dari Puncak Alam hingga ke Sabak Bernam kerana akses kepada rawatan berkualiti kini lebih dekat dengan rumah.

“KPJ Kuala Selangor merupakan satu-satunya hospital swasta pelbagai disiplin di daerah ini, dengan menyediakan rawatan kecemasan 24 jam serta perkhidmatan pakar kepada kawasan yang sekian lama kurang mendapat perhatian sektor swasta,” katanya.

Dr Dzulkefly (tengah) menandatangani plak sebagai gimik perasmian Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor pada Isnin.
Dr Dzulkefly (tengah) menandatangani plak sebagai gimik perasmian Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor di sini pada Isnin.

Ismail memberitahu, hospital yang mula beroperasi sejak dua minggu lalu itu telah pun melaksanakan pelbagai pembedahan, prosedur skop dan mencatatkan kelahiran pertama, sekali gus membuktikan bahawa fasiliti tersebut bukan sahaja bersedia, tetapi sudah aktif memberi perkhidmatan kepada komuniti.

“Kami percaya penjagaan kesihatan berkualiti seharusnya tidak terhad kepada pusat bandar sahaja. “Di KPJ Healthcare, prinsip Care for Life bukan sekadar slogan, sebaliknya ia adalah komitmen kami untuk berkhidmat dengan bermaruah, tepat dan ikhlas,” ujar beliau.

ISMAIL BAKAR
ISMAIL BAKAR

Artikel Berkaitan:

Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor adalah hospital ke-30 dalam rangkaian KPJ Healthcare, sekali gus melakar sejarah sebagai satu-satunya hospital pakar pelbagai disiplin di daerah Kuala Selangor.

Utamakan keselamatan, keselesaan dan kualiti

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, pihaknya tidak menetapkan sasaran jumlah pesakit buat masa ini, sebaliknya memberi keutamaan kepada keselamatan, keselesaan dan kualiti rawatan untuk semua.

“Kami amat mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai. Beritahu kami apa lagi yang boleh kami lakukan untuk berkhidmat dengan lebih baik,” tambahnya.

Dr Dzulkefly (kiri) melawat fasiliti kesihatan yang terdapat di Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor pada Isnin.
Dr Dzulkefly (kiri) melawat fasiliti kesihatan yang terdapat di Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelancaran Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor menjadi bukti keberkesanan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta (PPP) dalam memperluas akses kepada rawatan kesihatan berkualiti khususnya untuk penduduk luar bandar.

Beliau memberitahu, melalui model kerjasama itu, hospital berkenaan mampu mengurangkan masa menunggu pesakit yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada hospital kerajaan, selain menyediakan akses kepada teknologi terkini.

“Hospital itu juga memberi manfaat kepada golongan B40 menerusi pelaksanaan model pembiayaan fleksibel sekali gus memastikan tiada pihak tercicir daripada menerima rawatan sewajarnya.

“Kami mahu memastikan pesakit tidak lagi perlu ke lokasi jauh sematamata untuk mendapatkan rawatan berkualiti dan sudah tiba masanya kita membawa kemudahan kesihatan lebih dekat ke rumah,” kata beliau.

Menurut beliau, hospital itu dibina agar rakyat di Kuala Selangor memiliki akses yang setara dengan kawasan bandar besar.

“Kami mahu rakyat di sini berbangga dengan hospital ini kerana ia bukan sekadar fasiliti kesihatan, tetapi untuk keperluan generasi akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!