Op Starlight III: Pesakit pertama selamat dibedah di Hospital Medan Malaysia

SAGAING - Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat sejarah pada Isnin apabila berjaya melaksanakan pembedahan pertama seawal jam 10.30 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia), hanya beberapa jam selepas mula beroperasi di Sagaing, Myanmar.
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, HMM yang diwujudkan menerusi Operasi Bantuan Kemanusiaan (Op Starlight III), berfungsi sebagai hospital tahap dua dengan 20 katil serta pelbagai kemudahan termasuk wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, makmal dan radiologi.
Menurut ATM, hospital itu menawarkan dua kepakaran utama iaitu pembedahan am dan ortopedik serta mampu menjalankan dua prosedur pembedahan serentak pada satu-satu masa.

“Selain itu, klinik pesakit luar yang dijangka menerima 80 hingga 100 pesakit setiap hari turut disediakan, dengan bantuan tiga pegawai perubatan dari Hospital Sagaing,” kata kenyataan itu pada Isnin.
HMM mula beroperasi secara rasmi pada jam 8.20 pagi waktu Myanmar (9.50 pagi waktu Malaysia) dan terus menerima kehadiran pesakit tanpa henti dari kawasan terjejas akibat gempa bumi.
Ketua Menteri Wilayah Sagaing, Myint Naing dan Panglima Biro Operasi Khas Wilayah Yangon, Leftenan Jeneral Thet Pon turut hadir meninjau lokasi sebagai tanda sokongan terhadap usaha Malaysia.
Pada 19 April lalu, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing melawat persiapan HMM sebagai pengiktirafan dan komitmen kerajaan Myanmar terhadap misi kemanusiaan ini.
Penduduk tempatan yang menerima rawatan menyifatkan kehadiran HMM sebagai sinar harapan, khususnya kepada mangsa bencana yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!