Lelaki hilang ketika cari ketam ditemukan selamat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PORT DICKSON - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di pantai berhampiran sebuah resort di sini, ditamatkan tengah malam tadi, susulan mangsa ditemukan selamat berhampiran kawasan dia dilaporkan hilang.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, mangsa Mohd Fakhrul Fareez Mohd Afandi, 32, ditemukan warisnya pada 12.42 malam di pantai berkenaan dalam keadaan tidak bermaya.

"Petugas operasi yang kemudian memeriksa mendapati mangsa adalah individu yang dicari. Mangsa ditemui selamat dalam keadaan separa sedar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson untul rawatan lanjut.

Pada Isnin, media melaporkan Mohd Fakhrul dilaporkan hilang pada 4.30 pagi selepas keluar mencari ketam seorang diri berhampiran sebuah resort di sini. Dia sebelum itu menyertai aktiviti perkelahan di sini bersama seorang saudara dan rakannya pada Ahad.

Susulan kehilangannya, SAR yang membabitkan APM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diaktifkan dengan kawasan pencarian meliputi satu kilometer dengan tumpuan di kawasan pantai Lagun Biru. -Bernama

Artikel Berkaitan: